Sunday, August 31, 2008

Permatang Pauh : Satu Mesej

Berakhirnya pilihanraya kecil Permatang Pauh membawa perkhabaran sedih untuk BARISAN NASIONAL dan UMNO khususnya. Calon UMNO yang rebah di tangan pemimpin pembangkang ini merupakan anak jati dan juga Adun Seberang Jaya. Saya dapat melihat mengapa Anwar Ibrahim memilih untuk bertanding di Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat beliau. Walau keseluruhan jentera BN datang dari seluruh pelusuk Malaysia, BN tewas dari segi moral, strategi dan keseluruhan pilihanraya kecuali peruntukan kewangan untuk menghadapinya.

Saya berada di sana semasa 4 hari terakhir bagi membantu kempen jentera BN. Apa yang dapat dilihat pendekatan serta strategi yang salah antara penyebab mengapa BN kalah pada kali ini. Menghadapi Anwar di Permatang Pauh memerlukan strategi khas kerana penyokong beliau taksub dan setia. Saya berpeluang bertemu dengan penduduk kampung serta bekas ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri, duduk semeja berbual-bahas bagi menyelami dan memahami perjuangan mereka. Apa yang diperolehi amat memeranjatkan saya kerana tidak pernah dapatan seperti ini dimaklum, diulas dan disebut oleh kepimpinan/ahli UMNO dan BN, suratkhabar atau mana-mana blog sekalipun. Mereka ini menyokong Anwar Ibrahim bukan kerana beliau ditindas, bukan kerana harga minyak yang mahal dan bukan juga atas sebab ehsan kasihan tetapi atas sebab untuk menghantar suara Anwar ke Parlimen bagi menentang 'bad governance'. Terlalu mendalam hasrat tujuan mereka.

BN gagal melihat kempen ini dari sudut 'bad governance' dan menyediakan strategi khas bagi menangkis pertuduhan ini. Penurunan harga minyak, isu sodomi/sumpah Saiful dan rasuah Anwar langsung tidak memberi kesan jika itu menjadi strategi BN. Malah mereka secara terang-terangan berkata bahawa jika benar sekalipun Anwar itu seorang sodomi, mereka akan masih tetap menyokong beliau kerana itu tuduhan bersifat keperibadian. Apa yang dititik beratkan ialah kebajikan RAKYAT dan ia berkait rapat dengan 'bad governance'. Dan mereka ini terdiri daripada peguam dan peniaga yang berjaya.Saya hampir terperangkap dengan ketidaksediaan menjawab persoalan seperti ini. Menerangkan isu sodomi dan harga minyak, berjela-jela saya mampu terangkan. Jesteru itu, jentera BN harus melengkapkan diri mereka dengan jawapan kepada isu-isu semasa jika mahu menyakinkan RAKYAT. Hal ini tidak berlaku semasa di Permatang Pauh. Jentera yang ramai tidak menunjukkan keberkesanan kerana lebih sibuk menyambut Menteri-Menteri dari berkempen mendekati penduduk setempat dan cuba mempengaruhi mereka.

BN harus bersedia untuk menghadapi dan mengulas balas perjuangan salah mereka. Tiada inisiatif khas dilihat untuk 'engage' mereka secara akademik. Penyokong PKR harus didekati dan bukan dijauhi. Kita harus melihat dari dalam agar kita boleh bersedia mematahkan hujah perjuangan dan pertuduhan mereka.

Memang mudah untuk menuduh bahawa kerajaan sekarang mengamalkan pengurusan yang buruk kerana apabila banyak kes rasuah, ketirisan ekonomi, projek gagal dan yang paling ketara sekali peningkatan inflasi dilaporkan di dada-dada akhbar dan laman blog. Hal-hal yang disebutkan tadi amat berkait rapat dengan ekonomi RAKYAT. Apabila mereka susah dan tersepit maka mereka akan mengambil jalan yang paling mudah dengan menuduh kerajaan gagal membela nasib mereka. Saya tidak katakan bahawa tidak ada cara bagi mengatasi masalah yang disebutkan tadi, tetapi bukankah kebebasan media melaporkan perkara yang sedemikian maka mereka tahu apa yang berlaku. Itulah yang dikatakan penambahbaikan kerajaan dan sebuah kerajaan yang telus.

Kerajaan harus sedar bahawa RAKYAT sekarang sudah cerdik pandai dan peka tentang apa yang berlaku. Soal ekonomi jangan diperlekehkan dan diambil mudah. Perlu usaha secara kolektif dan komprehensif bagi menangani permasalahan ini. Banyak kerajaan yang tumbang dek kerana kegagalan ekonomi mereka. Jangan dibenarkan perkara ini berlaku di Malaysia.Persoalannya, adakah PKR akan mampu menubuhkan kerajaan yang kurang bermasalah berbanding Kerajaan BN? Dalam 5 bulan pentadbiran mereka di 5 buah negeri, sudah ada kepincangannya. Jangan sekali-kali cuba bandingkan pentadbiran BN yang sudah lebih 50 tahun mengurus-tadbir Malaysia dengan jayanya.