Thursday, June 19, 2008

Percaturan gambit de-facto PR



Dengan mewar-warkan perubahan kerajaan yang akan berlaku seawal September melalui kemasukan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat, itulah bermulanya detik gerakan percaturan politik pemimpin de-facto PR. Caranya dengan menanam kesangsian dikalangan barisan ahli-ahli Parlimen BN dengan menggoyahkan keyakinan dan kesetiaan sesama mereka termasuk PM sendiri.

Memang ada pertemuan dengan DSAI dan ini diakui sendiri oleh Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee dengan mendedahkan 2 tempat pertemuan mereka di Hong Kong dan di Kuala Lumpur. Kenyataan balas PM mendedahkan bahawa kegagalan beliau untuk memenuhi ketamakkan Presiden SAPP itu telah menyebabkan tindakan yang sedemikian rupa. Bagaimanapun persoalan sama ada pertemuan Datuk Yong Teck Lee dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah mendorong tindakan SAPP itu sudah menjadi tidak relevan apabila alasan yang dikemukakan mereka adalah bersandarkan kepada kepentingan RAKYAT Sabah.Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Presiden SAPP selepas mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP itu sendiri menggambarkan kedemokrasian yang subur di dalam komponen parti tersebut. Sebarang tindakan menyokong kumpulan breakaway seperti Timbalan Presiden SAPP Datuk Raymond Tan dan ADUN Elopura Au Kam Wah yang juga merangkap Ketua Pemuda SAPP boleh dianggap sebagai campurtangan terhadap rumahtangga SAPP dan mengenepikan semangat demokrasi. Hal ini menjadikan sebarang tindakan dan kenyataan mereka berdua selepas ini bolehlah dianggap sebagai kenyataan peribadi.

Pada hemat saya, lebih wajar sekiranya Perdana Menteri menggunakan pendekatan penyelesaian dengan menumpukan kepada tuntutan-tuntutan yang melibatkan kebajikan RAKYAT Sabah. Sebarang pendekatan politik yang bersifat menghukum akan merumitkan lagi keharmonian dan keselesaan pemerintahan Barisan Nasional. Ianya juga akan memberikan SAPP alasan yang lebih kukuh untuk meninggalkan Barisan Nasional. Sekiranya ini terjadi, maka akan menjadikan 2 ahli Parlimen SAPP sama ada sebagai ahli Bebas ataupun lebih buruk lagi menyertai Pakatan Rakyat.

Ada sumber menyatakan bahawa melalui perbualan beliau dengan orang kuat Parti Keadilan Rakyat dari Pulau Pinang tampak bahawa PR amat yakin akan membentuk kerajaan pada September ini dan sudahpun berjanji untuk menyelesaikan semua permasalahan berkaitan RAKYAT. Keyakinan ini harus diambil berat oleh pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional sebagai satu ancaman besar dan benar.Sebelum perkara yang lebih buruk berlaku, keseluruhan kepemimpinan Barisan Nasional perlu memikirkan antidote yang berkesan buat masa ini sementara menanti percaturan Anwar seterusnya.

Wednesday, June 18, 2008

Sabah mengorak langkah

Saya berada di Pejabat Menteri Pertanian apabila rakan memberitahu bahawa Presiden SAPP sedang memanggil sidang media di Sabah. Berbagai tekaan bermain di benak fikiran saya tentang apalah berita yang akan diberitahu. Jauh disudut hati amatlah saya berharap janganlah SAPP membuat keputusan untuk keluar dari Barisan Nasional. Baru semalam saya melahirkan kebimbangan tentang huru-hara situasi politik semasa yang banyak menekan Perdana Menteri Malaysia. Perkara ini akan memberi implikasi kepada kepercayaan pelabur serta bakal pelabur luar dan keberkesanan kepimpinan kabinet dalam hal mentadbir negara.

Langkah berani ini bersandarkan kepada layanan terhadap negeri Sabah yang dikatakan mundur, miskin dan sentiasa dipinggirkan dari segi pembangunan mahupun penjawatan di peringkat nasional. Kalau diukur dan dilihat dari sudut ahli SAPP, ianya satu tindakan yang wajar dan bolehlah Datuk Yong Teck Lee dianggap sebagai hero yang disanjung. Langkah yang dirasakan noble ini perlulah diperhalusi dan diambil berat kerana SAPP baru menyatakan pendirian tidak percaya kepada Perdana Menteri dan bukannya keluar parti. Ini merupakan amaran supaya parti-parti di Sabah tidak lagi dipandang sebagai parti sampingan sebaliknya sebagai parti yang menyumbang.

Isu seperti pendatang asing, kemiskinan, royalti minyak dan penjawatan merupakan perkara yang dibangkitkan. Walau bagaimana penting untuk RAKYAT sekalipun perjuangan yang ingin ditegakkan, masih ada pemimpin-pemimpin politik Sabah yang terus mengecam SAPP. Mengapa tidak bersama-sama mempersoalkan isu yang diperjuangkan? Sebaliknya pendirian SAPP itu dikecam tanpa mengemukakan alasan. Mereka sepatutnya menasihati SAPP agar menggunakan saluran yang ada bagi meminta apa yang dimahukan, bukan secara membabi-buta mengecam SAPP kerana menyatakan permintaan mereka.Tidak malukah mereka kepada RAKYAT? Tindakan mereka seolah-olah lebih memperjuangkan PM dan bukannya RAKYAT.Ahli Parlimen dan pemimpin parti jangan membawa imej sebegini kerana kalau berterusan bersikap seperti ini keyakinan RAKYAT kepada BN akan terus terhakis. Saya percaya jika saluran yang sedia-ada digunakan sebaiknya oleh SAPP, Perdana Menteri tidak akan teragak-agak menimbangkan permintaan mereka.

Ternyata langkah yang diambil oleh Datuk Yong Teck Lee merupakan langkah popular dikalangan ahli-ahli parti SAPP. Pihak pembangkang pula melihat perkara ini sebagai satu peluang untuk terus membuktikan kepada RAKYAT bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak berupaya dan kurang acuh dalam usaha menangani masalah yang dihadapi oleh RAKYAT Malaysia dan Sabah khususnya. YAB Lim Guan Eng mempersendakan SAPP kerana masih lagi berada dalam komponen Barisan Nasional. Umpan Anwar Ibrahim hampir dimakan tetapi belum lagi dikait. Buat setakat ini, SAPP baru hanya mengadakan usul tidak percaya kepada pimpinan YAB Perdana Menteri. Maka haruslah PM berusaha dengan bersungguh bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh RAKYAT Sabah supaya keyakinan mereka kembali kepada Barisan Nasional.

Tuesday, June 17, 2008

Retak Menanti Belah, Rindu Menanti Hari

Ketidaktentuan yang wujud di dalam kepimpinan UMNO mengundang andaian yang berbagai-bagai; sekali air bah, sekali pantai berubah. Setiap kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin umpama badai melanda pantai- setiap kali pantai berubah. Acap kali kedengaran cakap-cakap politik yang kuat dan semakin kuat setiap hari sejak keputusan PRU ke-12.

Pertukaran dan peralihan kuasa thePremier sering menjadi topik pilihan perbualan di kedai kopi, perjalanan teksi mahupun sembang makan malam keluarga. Benarkah beliau sudah tidak layak, tidak ampuh dan sudah tidak relevan untuk menerajui negara tercinta ini? Walau signifikan sekalipun alasan dan hujah itu, sekiranya parti dekat di hati,parti menunjangi perjuangan maka pertelingkahan ini perlu dihentikan. Sekecil manapun skala ketidaksetujuan di kalangan barisan kepimpinan UMNO, ia perlu dihentikan segera. Ramai yang mahukan Perdana Menteri meletakkan jawatan dari parti dan kerajaan, bagaimanapun, proses demokrasi yang subur ini tidak perlu dicacat-celakan dengan desakan seperti ini. Perdana Menteri diangkat melalui demokrasi maka saya percaya hanya adil sekiranya diturunkan dengan proses yang sama. Oleh yang demikian, tempat dan tarikh dah ditentukan- PWTC pada 16 Disember 2008 gelanggang akan dibuka dan keris dihunus tanda mulanya pendekar bertarung. Tiada gunanya dibebankan PM dengan soalan-soalan berhubung peralihan kuasa. Hak dan batilnya akan ditentukan oleh perwakilan nanti. Bebaskan beliau melaksanakan kerja dan beban tanggungjawab mentadbir kerajaan dari sering gering memikirkan jawapan persoalan seperti ini.

Dan semalam 5 negeri menyusuri 100 hari dibawah naungan tadbir Pakatan Rakyat. Ada cakap-cakap bahawa PR kekurangan bakat untuk mentadbir maka sebab itu mula adanya strategi serampang dua mata membawa bekas-bekas pemimpin BN menyertai mereka dari segi pentadbiran mahupun kecenderungan politik. Dengan cara ini mereka bukan sahaja menyelesaikan masalah kekurangan bakat dan pengalaman yang ada, tetapi juga mewujudkan perpecahan di kalangan pemimpin BN dan menepis kesangsian RAKYAT terhadap keupayaan kepimpinan mereka. Permainan pemimpin de-facto PR Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berulang-kali menyatakan akan berlaku perubahan kerajaan dengan bantuan ahli-ahli Parlimen yang akan lompat parti jelas menunjukkan sikap memperlekehkan institusi demokrasi Malaysia. Mengapa ahli Parlimen Barisan Nasional dan UMNO khususnya perlu melompat parti sedangkan peluang untuk menukar kepimpinan terbuka luas pada 16 Disember ini andainya tidak bersetuju dengan PM. Atau mungkin ada alasan bertunjangkan kepentingan peribadi seperti habuan hartabenda dan wang ringgit semata-mata?

Ahli Parlimen semua harus sentiasa meletakkan kepentingan RAKYAT sebagai agenda utama dan bukannya kepentingan peribadi. Majoriti RAKYAT telah memilih kerajaan BN untuk meneraju-tadbir Malaysia dan ini harus disedari oleh Pakatan Rakyat. Anwar jangan rindu menanti hari.Biar PRU ke-13 penentunya. Malaysia perlu dibenarkan berdiri di atas tapak demokrasi yang dibina pada PRU ke-12 yang lepas. Pertelingkahan di dalam UMNO perlu dihenti.Jangan sampai retak menanti belah!

Keraian yang pedih

Isu kenaikan harga minyak telah memberi kesan 'domino effect' kepada RAKYAT MALAYSIA secara berterusan dan seumpama tiada berpenghujung. Pengumuman kerajaan untuk menaikkan harga petrol kepada kadar kenaikan tertinggi yang pernah dicatat dalam kronologi petrol negara telah memberi kesan kepada hampir keseluruhan aktiviti di dalam negara. Sebagai permulaan harga barang-barang runcit dan makanan telah naik secara mendadak dan kesan ini amat dirasai oleh setiap warganya. Bagi mereka yang tidak bersama-sama dengan arus kenaikan harga ini mudah mendapat populariti dan pujian harus dihamburkan kepada mereka; sebagai contoh peniaga makanan RM2 di Kuala Kedah. Tetapi perkara ini bukan mudah untuk disertai oleh peniaga-peniaga lain kerana hal ini dikacamata sesetengah peniaga dilihat sebagai peluang untuk menaikkan harga sehingga ke paras yang tidak wajar bagi mengaut keuntungan.

Setelah itu, kenaikan tambang bas oleh pengusaha-pengusaha bas terus menekan kehidupan RAKYAT. Bagi mereka yang bergantung kepada bas sebagai mode pengangkutan utama, pasti merana dengan kenaikan hampir 50% yang dikenakan oleh syarikat-syarikat bas awam dan bas sekolah. Dan tidak cukup dengan itu, rantaian kesan ini terus merentasi caj-caj perkhidmatan yang juga naik harga contohnya; saya mendapat panggilan daripada tukang cuci rumah saya yang datang hanya seminggu sekali meminta agar dinaikkan RM40 kadar upahnya dari harga upah asal dengan menggunakan alasan yang serupa.


Keterjejasan hidup RAKYAT MALAYSIA diteruskan lagi dengan berita kemungkinan harga caj elektrik ke rumah-rumah yang mungkin naik dan sedang dalam kajian TNB berikutan harga bahan bakar (petrol & arang) yang mengalami kenaikan.


Implikasi kenaikan harga petrol bukan sahaja menjejaskan harga barang dan perkhidmatan, ianya juga memaksa kerajaan membuat keputusan yang dirasakan sebagai usaha untuk menyejukkan hati RAKYAT yang marah.Rebat tunai telah diberikan bagi kenderaan-kenderaan dibawah 2000cc dan sebagainya dan tuntutan bolehlah dibuat melalui Pejabat-Pejabat Pos di seluruh negara. Hasilnya, Pejabat-Pejabat Pos ini telah dipenuhi oleh pelbagai kaum seawal 7pagi sehingga dirasakan seumpama ada majlis keraian. Apa yang diraikan? Kerajaan harus sedar, mereka ini keluar dan sanggup beratur di Pejabat Pos kerana mereka ini benar-benar terhimpit dan amat memerlukannya. Sejumlah RM120 juta telah dibayar pada hari pertama dan kalau dilihat di dada-dada akhbar ianya telah mengundang berbagai-bagai pendapat dan reaksi daripada RAKYAT sekalian.


Sudah tiba masanya RAKYAT sedar bahawa isu kenaikan harga merupakan masalah dunia dan kita tidak berseorangan menghadapinya. Dan sudah tiba masanya juga kerajaan memikirkan penyelesaian yang komprehensif bagi mengukuhkan sistem pengangkutan awam yang selesa dan reliable. Hal mengubah gaya hidup bukan satu option tetapi itulah satu-satunya jalan keluar dan perkara ini harus disedari oleh pemimpin dan bos-bos kita di pejabat. Mereka harus memulakannya dan berpegang pada prinsip- kepimpinan melalui teladan. Langkah pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui YB Menterinya yang mengarahkan agar lampu-lampu dan sistem penghawa dingin dimatikan ketika waktu rehat merupakan satu tindakan bijak dan harus diteladani. Mungkin selepas ini kadar tanggungan utiliti yang dinikmati oleh para pemimpin dan pegawai kerajaan juga harus dihadkan (bukan ditarikbalik) agar mereka juga merasa akan keperitan yang dialami oleh RAKYAT jelata. Hal ini bukan bertujuan menghukum, tetapi bagi menginsafi kepedihan yang terpaksa dilalui seumpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk menampung perbelanjaan lain yang lebih memerlukan seumpamanya ; hal anak ke sekolah dan sara diri yang lain. Hidup harus teruskan sekalipun harga minyak mencecah USD200 setong, tetapi kerajaan harus melihat konteks penyelesaian ini dengan lebih bijak-arif kalau tidak mahu melihat majlis keraian sinis di semua Pejabat Pos seluruh negara berulang lagi.


Kalau negara pengeluar minyak seperti Venezuela,rakyatnya hanya membayar RM0.16 seliter maka kerajaan harus memperjelaskan mengapa RAKYAT Malaysia membayar sehingga berkali-kali ganda sedangkan kita juga mempunyai PETRONAS yang sentiasa menunjangi subsidi negara. Logiknya jika petrol naik harga, PETRONAS juga akan memperolehi keuntungan berlipat-kali ganda dan seharusnya berupaya secara berterusan membantu kerajaan dari segi subsidi. Perlu difikirkan kaedah penerangan kepada RAKYAT agar tanggapan negatif terhadap kerajaan dapat dibidas dan menunjukkan bahawa perjanjian jualbeli minyak dikawal-urus dengan baik oleh pengurusan PETRONAS. Persoalan ini harus dijawab segera memandangkan hidup terhimpit, hati merana RAKYAT tidak mengenal parti politik, pemimpin dan bangsa-'domino effect'nya amat bahaya dan tidak mengenal sempadan.