Tuesday, March 24, 2009

Sang Kancil UMNO

Selasa tepat jam 9 malam bermulanya Perhimpunan Agung UMNO 2008; disingkap dengan perasmian sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh YAB Timbalan Presiden UMNO. Serentak dengan itu, kebijaksanaan perwakilan akan diuji dengan peluang untuk mereka memilih barisan kepimpinan parti keramat UMNO yang baru bagi penggal akan datang.
Perlu diberitahu bahawa barisan yang akan dipilih akan menghadapi cabaran getir pertama dengan pilihanraya serentak di Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai. Suka diingatkan bahawa perwakilan yang ada merupakan pemegang amanah akar umbi ahli-ahli parti. Jangan sekali-kali digadai untuk kepentingan sendiri. Pesanan YAB Timbalan Presiden hendaklah dijadikan garis panduan bagi memilih kepimpinan parti yang baru. Antara 3 yang digariskan; perwakilan perlu memilih pemimpin yang tidak mementingkan diri sendiri atau kelompok tertentu.Ahli-ahli UMNO akar umbi perlu bimbang sekiranya perwakilan yang mereka galaskan amanah ini melakukan sebaliknya. Mereka mungkin lebih mementingkan diri sendiri dari tugas mengkhalifahkan parti. Mereka tebus-gadai maruah parti dan masa depan bangsa melayu hanya untuk kesenangan sementara. Berkiblatkan wang ringgit; berbanding kebolehan dan kredibiliti calon yang bertanding. Kesannya parti UMNO akan menjadi rapuh dan tidak berdaya menghadapi kekuatan Pakatan Rakyat sekiranya kepimpinan yang dipilih gagal meyakinkan RAKYAT, implikasi dari khilaf hati dan akal memilih kepimpinan. Kesan langsung, RAKYAT akan terus menolak Barisan Nasional kerana UMNO merupakan tunjang kerajaan yang memerintah sekarang.
Perwakilan harus bijak dan sedar kerana UMNO berada di persimpangan yang menentukan untung nasib masa depan parti dan bangsa melayu itu sendiri. Kesilapan memilih kepimpinan yang rasuah dan penuh dengan isu hanya akan membebankan parti. Perwakilanlah yang boleh mengubah semuanya. Mereka yang bijak akan memilih pemimpin yang tidak mempunyai isu, disukai bukan sahaja oleh orang UMNO tetapi juga indah dikacamata RAKYAT. Dalam usaha mengangkat kepimpinan parti haruslah ianya merentasi sentimen persahabatan & persaudaraan. Pemimpin datang dan pergi. Tiada individu yang patut berselindung disebalik payung UMNO. Maka kesedaran ini perlu ada tatkala jari dan fikiran menimbang-tara calon-calon yang menawarkan diri. Pilih calon yang boleh memulihkan keyakinan RAKYAT dan membantu kekuatan UMNO untuk kembali ke tempatnya.
Jangan sampai UMNO menjadi seperti parti Golkar dan BJP yang berkubur kerana kegagalan ahli-ahlinya melakukan perubahan dan konflik keyakinan. Bagi mereka yang rasuah, mahupun bebas selepas disiasat atau hanya terdengar khabar angin melakukan rasuah, kita pendekkan langkah mereka. Kita julang pemimpin yang bebas isu dan rasuah kerana kepimpinan yang dipilih mencerminkan kebijaksanaan si sang kancil UMNO. Jalankan amanah dan tanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara. Selamat bersidang.