Saturday, January 17, 2009

Pilihanraya Parlimen Kuala Terengganu : Antara ujian & gambaran

Penamaan calon Kuala Terengganu pada 6hb Januari 2009 telah memperlihatkan 3 calon terdiri daripada Barisan Nasional, Pakatan Rakyat dan calon bebas. Ianya menyaksikan satu lagi peluang bagi rakyat Malaysia menguji ‘handover’ pentadbiran Paklah kepada Najib serta gambaran awal kebolehan, kesabaran dan ujian terakhir bagi Najib sebelum pemilihan UMNO pusat pada Mac 2009 yang bakal menyaksikan beliau menerajui parti setelah menang tanpa bertanding.

Dan hari ini, saya berada di Kuala Terengganu bagi bersama-sama berkempen untuk memastikan calon BN menang; Dato’ Wan Ahmad Farid selaku bekas Setiausaha Politik PM, bekas Senator Dewan Negara dan bekas Timbalan Menteri menentang calon PAS Wahid Endut ADUN Wakaf Mempelam selama 5 penggal . Tak perlu pula kita membincangkan calon ketiga yang bertanding selaku calon Bebas yang muncul sebagai calon kacau daun sahaja

BN meletakkan seorang calon yang belum lagi teruji di medan pilihanraya walaupun telah memegang pelbagai jawatan di semua peringkat, berbanding calon PAS yang telah 5 penggal menerajui DUN Wakaf Mempelam. Kedua-duanya merupakan anak tempatan yang mempunyai latar belakang undang-undang. Tetapi factor individu tidak patut menjadi sebab mutlak bagi memilih ahli parlimen.

Pilihanraya kali ini akan memberi peluang kepada pengundi-pengundi Kuala Terengganu menginterpretasikan ukuran kekuatan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat di dalam gelanggang politik negara. Mengapa saya katakan sedemikian kerana Kuala Terengganu telah dijadikan lapangan bagi semua isu-isu diperingkat nasional diperbahaskan. Kedua-dua belah pihak telah membawa isu-isu nasional ke Kuala Terengganu dan sekaligus menjadikan penduduk Parlimen Kuala Terengganu selaku juri pengadilannya. BN mahupun Pakatan Rakyat membawa kesemua tokoh-tokoh mereka bagi membongkar,menuduh dan menerangkan kesemua isu yang tidak sama sekali bersangkut paut dengan penduduk di Kuala Terengganu ini. Hampir setiap malam penceramah-penceramah membahas perkara-perkara yang memeranjatkan penduduk-penduduk di sini. Tiada seincipun isu diperingkat nasional tertinggal dari diheret bagi mewarnai kemeriahan pilhanraya Parlimen KT.

Oleh yang demikian, kedua-dua belah pihak bermati-matian berkempen bagi memastikan mereka berada di pihak yang menang. Bagi pengundi KT, tepuk dada tanya selera. Jangan jari menari, masa depan melayang. Jom kita tunggu keputusan juri.