Thursday, November 27, 2008

'Wang Politik' dan 'Politik Wang'?

Keputusan pencalonan dan mesyuarat bahagian-bahagian telah memberi gambaran awal berhubung pemilihan Mesyuarat Agung UMNO yang akan berlangsung pada bulan Mac 2009 nanti. Wujud sudah team-team yang menang mengikut 'dahan mereka berpaut'. Bagaimanapun ianya tidak dapat memberi gambaran sebenar kehendak akar umbi sekiranya unsur politik wang mempengaruhi keputusan pemilihan kelak. Ini perlu dielakkan dan dibanteras bagi memulihkan UMNO dan keyakinan masyarakat.

Hari ini genap sebulan selepas tewasnya saya dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat; dan juga berakhirnya mesyuarat bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara kecuali 5 bahagian yang masih belum bermesyuarat ataupun diminta untuk dibuat semula. Setelah selesai mesyuarat-mesyuarat ini banyak terdengar cerita-cerita yang berhubungkait dengan politik wang yang dikatakan melanda pemilihan UMNO di seluruh negara. Dilaporkan terdapat lebih 900 laporan diperolehi oleh Lembaga Displin parti tetapi belum nampak sebarang tindakan dibuat. Perlu ada tindakan yang drastik yang mampu memberi pengajaran kepada calon-calon yang bertanding agar budaya ini tidak terus disemai dan subur didalam parti UMNO.Yang paling lantang bersuara adalah Tun Dr. Mahathir yang hebat mengkritik pemilihan UMNO pada kali ini. Soal calon yang mendadak mendapat pencalonan seolah-olah menggambarkan sesuatu yang tidak kena dengan keputusan pencalonan . Dikatakan terdapat elemen-elemen politik wang mempengaruhi pencalonan tersebut.

Sungguh pelik apabila DS Khir Toyo tampil sebagai orang yang sibuk membuat penerangan disebalik teguran Tun Dr. Mahathir. Beliau meminta agar kita tahu membezakan antara 'wang politik' dan 'politik wang'. Mengapa beliau yang sibuk tampil seolah-olah mempertahankan diri sendiri? Jangan lupa DS Khir Toyo merupakan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang tiba-tiba mendadak pencalonannya sehingga tercicir saudara KJ. Apa agaknya resipi kejayaan beliau sehingga mampu mencicirkan calon favourite KJ. Tanya beliau dan mungkin kita dapat belajar atau mengambil pengajaran!

Perlu diingatkan bahawa UMNO adalah institusi politik bagi mengangkat pemimpin yang akan memimpin ahli dan membawa halatuju parti. Menjadi perwakilan maknanya kita membawa amanah untuk mengangkat kepimpinan yang terbaik dikalangan kita bagi menjamin keutuhan parti. Saya suka ingatkan, jangan kita khianati amanah ini. Sekiranya pemimpin yang diangkat bukan yang terbaik dan terlayak, ia memberi kesan langsung kepada kekuatan parti untuk menghadapi parti lawan. Jangan sampai menang sorak kampung tergadai. UMNO perlu dipastikan terus memerintah-tadbir Malaysia. Jangan kerana wang ringgit untuk terbolok sendiri kita gagal melaksanakan amanah ini. Jangan kerana kepentingan diri kita membelakangkan kepentingan parti. Jangan sampai 'Generasi Merdeka' malu untuk menjadi ahli UMNO. Jangan kita semai, jangan kita baja budaya politik wang. Perwakilan UMNO mulai sekarang harus bijak agar UMNO kembali meraih keyakinan RAKYAT di lima negeri yang kita tewas. Mari bersama-sama melakukan perubahan!