Thursday, November 27, 2008

'Wang Politik' dan 'Politik Wang'?

Keputusan pencalonan dan mesyuarat bahagian-bahagian telah memberi gambaran awal berhubung pemilihan Mesyuarat Agung UMNO yang akan berlangsung pada bulan Mac 2009 nanti. Wujud sudah team-team yang menang mengikut 'dahan mereka berpaut'. Bagaimanapun ianya tidak dapat memberi gambaran sebenar kehendak akar umbi sekiranya unsur politik wang mempengaruhi keputusan pemilihan kelak. Ini perlu dielakkan dan dibanteras bagi memulihkan UMNO dan keyakinan masyarakat.

Hari ini genap sebulan selepas tewasnya saya dalam pemilihan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat; dan juga berakhirnya mesyuarat bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara kecuali 5 bahagian yang masih belum bermesyuarat ataupun diminta untuk dibuat semula. Setelah selesai mesyuarat-mesyuarat ini banyak terdengar cerita-cerita yang berhubungkait dengan politik wang yang dikatakan melanda pemilihan UMNO di seluruh negara. Dilaporkan terdapat lebih 900 laporan diperolehi oleh Lembaga Displin parti tetapi belum nampak sebarang tindakan dibuat. Perlu ada tindakan yang drastik yang mampu memberi pengajaran kepada calon-calon yang bertanding agar budaya ini tidak terus disemai dan subur didalam parti UMNO.Yang paling lantang bersuara adalah Tun Dr. Mahathir yang hebat mengkritik pemilihan UMNO pada kali ini. Soal calon yang mendadak mendapat pencalonan seolah-olah menggambarkan sesuatu yang tidak kena dengan keputusan pencalonan . Dikatakan terdapat elemen-elemen politik wang mempengaruhi pencalonan tersebut.

Sungguh pelik apabila DS Khir Toyo tampil sebagai orang yang sibuk membuat penerangan disebalik teguran Tun Dr. Mahathir. Beliau meminta agar kita tahu membezakan antara 'wang politik' dan 'politik wang'. Mengapa beliau yang sibuk tampil seolah-olah mempertahankan diri sendiri? Jangan lupa DS Khir Toyo merupakan calon Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang tiba-tiba mendadak pencalonannya sehingga tercicir saudara KJ. Apa agaknya resipi kejayaan beliau sehingga mampu mencicirkan calon favourite KJ. Tanya beliau dan mungkin kita dapat belajar atau mengambil pengajaran!

Perlu diingatkan bahawa UMNO adalah institusi politik bagi mengangkat pemimpin yang akan memimpin ahli dan membawa halatuju parti. Menjadi perwakilan maknanya kita membawa amanah untuk mengangkat kepimpinan yang terbaik dikalangan kita bagi menjamin keutuhan parti. Saya suka ingatkan, jangan kita khianati amanah ini. Sekiranya pemimpin yang diangkat bukan yang terbaik dan terlayak, ia memberi kesan langsung kepada kekuatan parti untuk menghadapi parti lawan. Jangan sampai menang sorak kampung tergadai. UMNO perlu dipastikan terus memerintah-tadbir Malaysia. Jangan kerana wang ringgit untuk terbolok sendiri kita gagal melaksanakan amanah ini. Jangan kerana kepentingan diri kita membelakangkan kepentingan parti. Jangan sampai 'Generasi Merdeka' malu untuk menjadi ahli UMNO. Jangan kita semai, jangan kita baja budaya politik wang. Perwakilan UMNO mulai sekarang harus bijak agar UMNO kembali meraih keyakinan RAKYAT di lima negeri yang kita tewas. Mari bersama-sama melakukan perubahan!

Sunday, August 31, 2008

Permatang Pauh : Satu Mesej

Berakhirnya pilihanraya kecil Permatang Pauh membawa perkhabaran sedih untuk BARISAN NASIONAL dan UMNO khususnya. Calon UMNO yang rebah di tangan pemimpin pembangkang ini merupakan anak jati dan juga Adun Seberang Jaya. Saya dapat melihat mengapa Anwar Ibrahim memilih untuk bertanding di Permatang Pauh yang merupakan kubu kuat beliau. Walau keseluruhan jentera BN datang dari seluruh pelusuk Malaysia, BN tewas dari segi moral, strategi dan keseluruhan pilihanraya kecuali peruntukan kewangan untuk menghadapinya.

Saya berada di sana semasa 4 hari terakhir bagi membantu kempen jentera BN. Apa yang dapat dilihat pendekatan serta strategi yang salah antara penyebab mengapa BN kalah pada kali ini. Menghadapi Anwar di Permatang Pauh memerlukan strategi khas kerana penyokong beliau taksub dan setia. Saya berpeluang bertemu dengan penduduk kampung serta bekas ketua Angkatan Muda Keadilan Negeri, duduk semeja berbual-bahas bagi menyelami dan memahami perjuangan mereka. Apa yang diperolehi amat memeranjatkan saya kerana tidak pernah dapatan seperti ini dimaklum, diulas dan disebut oleh kepimpinan/ahli UMNO dan BN, suratkhabar atau mana-mana blog sekalipun. Mereka ini menyokong Anwar Ibrahim bukan kerana beliau ditindas, bukan kerana harga minyak yang mahal dan bukan juga atas sebab ehsan kasihan tetapi atas sebab untuk menghantar suara Anwar ke Parlimen bagi menentang 'bad governance'. Terlalu mendalam hasrat tujuan mereka.

BN gagal melihat kempen ini dari sudut 'bad governance' dan menyediakan strategi khas bagi menangkis pertuduhan ini. Penurunan harga minyak, isu sodomi/sumpah Saiful dan rasuah Anwar langsung tidak memberi kesan jika itu menjadi strategi BN. Malah mereka secara terang-terangan berkata bahawa jika benar sekalipun Anwar itu seorang sodomi, mereka akan masih tetap menyokong beliau kerana itu tuduhan bersifat keperibadian. Apa yang dititik beratkan ialah kebajikan RAKYAT dan ia berkait rapat dengan 'bad governance'. Dan mereka ini terdiri daripada peguam dan peniaga yang berjaya.Saya hampir terperangkap dengan ketidaksediaan menjawab persoalan seperti ini. Menerangkan isu sodomi dan harga minyak, berjela-jela saya mampu terangkan. Jesteru itu, jentera BN harus melengkapkan diri mereka dengan jawapan kepada isu-isu semasa jika mahu menyakinkan RAKYAT. Hal ini tidak berlaku semasa di Permatang Pauh. Jentera yang ramai tidak menunjukkan keberkesanan kerana lebih sibuk menyambut Menteri-Menteri dari berkempen mendekati penduduk setempat dan cuba mempengaruhi mereka.

BN harus bersedia untuk menghadapi dan mengulas balas perjuangan salah mereka. Tiada inisiatif khas dilihat untuk 'engage' mereka secara akademik. Penyokong PKR harus didekati dan bukan dijauhi. Kita harus melihat dari dalam agar kita boleh bersedia mematahkan hujah perjuangan dan pertuduhan mereka.

Memang mudah untuk menuduh bahawa kerajaan sekarang mengamalkan pengurusan yang buruk kerana apabila banyak kes rasuah, ketirisan ekonomi, projek gagal dan yang paling ketara sekali peningkatan inflasi dilaporkan di dada-dada akhbar dan laman blog. Hal-hal yang disebutkan tadi amat berkait rapat dengan ekonomi RAKYAT. Apabila mereka susah dan tersepit maka mereka akan mengambil jalan yang paling mudah dengan menuduh kerajaan gagal membela nasib mereka. Saya tidak katakan bahawa tidak ada cara bagi mengatasi masalah yang disebutkan tadi, tetapi bukankah kebebasan media melaporkan perkara yang sedemikian maka mereka tahu apa yang berlaku. Itulah yang dikatakan penambahbaikan kerajaan dan sebuah kerajaan yang telus.

Kerajaan harus sedar bahawa RAKYAT sekarang sudah cerdik pandai dan peka tentang apa yang berlaku. Soal ekonomi jangan diperlekehkan dan diambil mudah. Perlu usaha secara kolektif dan komprehensif bagi menangani permasalahan ini. Banyak kerajaan yang tumbang dek kerana kegagalan ekonomi mereka. Jangan dibenarkan perkara ini berlaku di Malaysia.Persoalannya, adakah PKR akan mampu menubuhkan kerajaan yang kurang bermasalah berbanding Kerajaan BN? Dalam 5 bulan pentadbiran mereka di 5 buah negeri, sudah ada kepincangannya. Jangan sekali-kali cuba bandingkan pentadbiran BN yang sudah lebih 50 tahun mengurus-tadbir Malaysia dengan jayanya.

Thursday, July 10, 2008

Percaturan de-facto PKR seterusnya

Hari ini Majlis Tertinggi UMNO akan bermesyuarat dalam keadaan dimana politik Malaysia sedang cukup berkecamuk. RAKYAT sedang mual dan jelak saban hari mendengar isu-isu yang tak sepatutnya dikaitkan dengan para pemimpin kita. Tentunya ramai yang ternanti-nanti akan berita yang akan diumumkan selepas mesyuarat kelak. Mungkin Perdana Menteri akan mengumumkan tarikh peralihan kuasa yang sering menjadi teka-teki ahli-ahli UMNO selama ini.

Semasa Perdana Menteri mengumumkan bahawa akan berlaku peralihan kuasa diantara beliau dan timbalannya, ianya dibuat semasa orang UMNO berada dipuncak kemarahan mereka terhadap keputusan PRU-12 yang lalu. Marah ini semacam reda seketika setelah pengumuman itu dibuat dan sekaligus mengurangkan tekanan kepada Perdana Menteri. Disitulah detik bermulanya serangan terhadap YAB Dato' Seri Najib dipertingkatkan oleh pemimpin de-facto PKR Anwar Ibrahim. Serangan berunsur peribadi dengan mengaitkan beliau dengan kes pembunuhan rakyat Mongolia dan tuduhan rasuah berhubung komisen penjualan peralatan Angkatan Tentera terus dijaja dengan begitu hebat sekali. Hal ini membimbangkan ramai pihak dan pihak yang kena tuduh telah menjawab satu persatu bagi mempertahankan diri beliau.

De-facto PKR hanya mahu mengikis keyakinan RAKYAT terhadap YAB Dato' Seri Najib agar kerajaan terus goyah. Ahli-ahli UMNO akan hilang keyakinan kepada beliau apabila memikirkan isu-isu yang bersangkut-paut dengan bakal pemimpin numero uno UMNO ini. Perdana Menteri dirasakan lemah, timbalannya pula bermacam-macam isu, maka UMNO akan goyah.Tidak lama selepas tindakan pemimpin PKR itu, timbul pula laporan yang mengaitkan Anwar dengan kes liwat seperti 10 tahun lalu secara kebetulan. Anwar mempertahankan dirinya dengan menyatakan bahawa beliau telah sekali lagi dianiaya bagi menggagalkan rancangan untuk menubuhkan kerajaan pada September ini.Bagaimana untuk Anwar menubuhkan kerajaan saya kurang pasti.Bagi mereka yang mahir berpolitik; usaha mendapatkan 30 orang ahli Parlimen untuk lompat parti merupakan satu cabaran besar dan saya anggap hanya gurauan karut mainan politik beliau. Hal ini RAKYAT dan penyokong UMNO harus cepat sedar. Jangan terus dialunkan oleh mainan politik kotor Anwar kerana proses penubuhan kerajaan perlu melalui demokrasi pilihanraya. Tidak ada jalan lain. Hal ini sudah pun ditentukan oleh RAKYAT pada pilihanraya ke-12 lalu.RAKYAT tidak harus menerima kerajaan yang tertubuh melalui proses pengkhianatan parti, kudeta, campurtangan kuasa luar mahupun istana sekalipun. Jangan sekali-kali diberikan endorsement perkara sedemikian. Mana-mana parti politik yang membenarkan proses sedemikian perlu ditolak sebulat hati dan tidak ada tempat di koridor politik Malaysia. Jadi mahukah Anwar mengotorkan politik MALAYSIA hanya semata-mata kerana kepentingan peribadi? Sejarah politik Malaysia tidak membenarkannya.
Apabila rancangan Anwar tercapai, maka YAB Dato' Seri Najib akan dianggap sebagai calon yang tidak sesuai untuk menerajui UMNO. Sebaliknya ahli-ahli UMNO akan tercari-cari siapakah yang boleh memimpin. Sehingga itu, Perdana Menteri yang dianggap lemah oleh sesetengah ahli UMNO ini akan terus dibenarkan berkuasa dan direlakan untuk meneruskan pemerintahannya.Perlu diketahui bahawa ini merupakan matlamat Anwar yang mahukan agar UMNO berada pada keadaan yang serba lemah menempuhi pilihanraya akan datang dan seterusnya kecundang di tangan pembangkang.

Hal ini perlu direnungkan sementara menanti pengumuman mesyuarat MT UMNO sebentar lagi.

Tuesday, July 1, 2008

Kehebatan Bolasepak Euro'08


Tirai Kejohanan Bolasepak Euro'08 dilabuhkan dengan menyaksikan Sepanyol mengungguli dan menempa nama sebagai juara bagi siri kejohanan kali ini. Dengan menewaskan satu lagi gergasi bolasepak dunia Jerman, mereka menamatkan badi selama 44 tahun tanpa sebarang trofi kemenangan dengan penuh bergaya.Kejayaan mereka telah dirai selama beberapa hari di bandar-bandar sekitar Sepanyol dan mengundang puluhan ribu penyokong yang turun bersama-sama memeriahkan sambutan kemenangan. Begitulah kuasa pengaruh bolasepak di kalangan masyarakat Sepanyol.

Nyata bolasepak perlu dilihat dalam konteks yang lebih besar lagi. Sebagai contoh, mari kita lihat bagaimana kebanyakkan pemimpin negara-negara yang menyertai Kejohanan Euro'08 telah bersama-sama berkumpul bagi menyaksikan sendiri serta memberi sokongan kepada pasukan negara masing-masing. Semasa perlawanan separuh akhir antara Turki dan Jerman, kita dapat menyaksikan sendiri bagaimana pemimpin wanita Jerman, Angela Merkel bersorak bersama-sama para penonton bagi menaikkan moral pemain-pemain mereka. Ribuan penyokong Jerman telah merentasi sempadan Jerman-Austria umpama berarak ke medan perang semata-mata untuk memberikan sokongan kepada pasukan mereka. Dan lawan mereka Turki, juga tidak kurang hebatnya dan mempunyai sejarah tersendiri dalam sukan bolasepak. Puluhan ribu penyokong yang menyertai mereka telah memacu semangat kental pemain mereka bagi beraksi hebat menyaingi kehebatan Jerman. Turki dengan semangat juang yang tinggi nyata tidak mengecewakan para penyokong mereka menongkat kejohanan sehingga ke pusingan separuh akhir dan hampir membuat kejutan kepada Jerman.Bolasepak mampu menggerakkan RAKYAT seramai ini. Politik juga mampu menggerakkan RAKYAT seramai ini.

Elemen politik dan bolasepak berkait rapat sekiranya dapat disinergikan untuk membentuk satu kuasa yang amat kuat daya tarikannya.Sebagai contoh; bagaimana Piala Dunia dan Kejohanan Euro 2000 membantu populariti pemimpin Perancis setelah mereka muncul juara bagi kedua-dua kejohanan ini. Faktor'feel good'dikalangan RAKYAT telah membantu kerajaan memerintah untuk terus memerintah.Begitu juga dengan Perdana Menteri Itali Silvio Belusconi. Beliau pada mulanya hanya merupakan sorang hartawan yang terlibat dalam pelbagai perniagaan. Bagaimanapun populariti beliau telah melonjak hanya kerana memiliki kelab AC Milan yang pada ketika itu cukup hebat dan akhirnya menjadikan beliau Perdana Menteri Itali. Jerman merupakan negara dimana ramai RAKYAT Turki menumpang mencari rezeki kerana kedudukan geografinya. Turki selepas tewas di separuh akhir kepada Jerman, peliknya ramai penyokong-penyokong mereka telah mengalihkan sokongan mereka kepada Jerman bagi perlawanan akhir dengan Sepanyol walaupun negara itu telah menyingkirkan saingan mereka terdahulu.Begitulah bagaimana bolasepak dapat mempengaruhi geopolitik masyarakat setempat dan berhubungkait-kuat dengan politik.

Sudah tentu sebagai generasi merdeka pewaris negara menunggu-nunggu saat dan waktu bila Malaysia dapat menikmati kehebatan bersaing diperingkat tertinggi. Sekurang-kurangnya dapat juga kita menggunakan bolasepak sebagai instrumen perpaduan. Bayangkan ribuan rakyat berbilang kaum turun memenuhi ruang stadium bersama-sama KeBawah Duli Tuanku Agong ditemani Paklah, Karpal Singh, Lim Kit Siang beramai-ramai bersorak menyokong pasukan bolasepak negara. Bolasepak Malaysia harus bangkit kerana peluang ini teramat indah jika dapat dikecapi. Mungkin hanya satu-satunya jalan keluar bagi memupuk perpaduan di Malaysia kerana bolasepak tidak mengenal warna kulit mahupun fahaman politik.

Thursday, June 19, 2008

Percaturan gambit de-facto PR



Dengan mewar-warkan perubahan kerajaan yang akan berlaku seawal September melalui kemasukan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat, itulah bermulanya detik gerakan percaturan politik pemimpin de-facto PR. Caranya dengan menanam kesangsian dikalangan barisan ahli-ahli Parlimen BN dengan menggoyahkan keyakinan dan kesetiaan sesama mereka termasuk PM sendiri.

Memang ada pertemuan dengan DSAI dan ini diakui sendiri oleh Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee dengan mendedahkan 2 tempat pertemuan mereka di Hong Kong dan di Kuala Lumpur. Kenyataan balas PM mendedahkan bahawa kegagalan beliau untuk memenuhi ketamakkan Presiden SAPP itu telah menyebabkan tindakan yang sedemikian rupa. Bagaimanapun persoalan sama ada pertemuan Datuk Yong Teck Lee dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah mendorong tindakan SAPP itu sudah menjadi tidak relevan apabila alasan yang dikemukakan mereka adalah bersandarkan kepada kepentingan RAKYAT Sabah.Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Presiden SAPP selepas mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP itu sendiri menggambarkan kedemokrasian yang subur di dalam komponen parti tersebut. Sebarang tindakan menyokong kumpulan breakaway seperti Timbalan Presiden SAPP Datuk Raymond Tan dan ADUN Elopura Au Kam Wah yang juga merangkap Ketua Pemuda SAPP boleh dianggap sebagai campurtangan terhadap rumahtangga SAPP dan mengenepikan semangat demokrasi. Hal ini menjadikan sebarang tindakan dan kenyataan mereka berdua selepas ini bolehlah dianggap sebagai kenyataan peribadi.

Pada hemat saya, lebih wajar sekiranya Perdana Menteri menggunakan pendekatan penyelesaian dengan menumpukan kepada tuntutan-tuntutan yang melibatkan kebajikan RAKYAT Sabah. Sebarang pendekatan politik yang bersifat menghukum akan merumitkan lagi keharmonian dan keselesaan pemerintahan Barisan Nasional. Ianya juga akan memberikan SAPP alasan yang lebih kukuh untuk meninggalkan Barisan Nasional. Sekiranya ini terjadi, maka akan menjadikan 2 ahli Parlimen SAPP sama ada sebagai ahli Bebas ataupun lebih buruk lagi menyertai Pakatan Rakyat.

Ada sumber menyatakan bahawa melalui perbualan beliau dengan orang kuat Parti Keadilan Rakyat dari Pulau Pinang tampak bahawa PR amat yakin akan membentuk kerajaan pada September ini dan sudahpun berjanji untuk menyelesaikan semua permasalahan berkaitan RAKYAT. Keyakinan ini harus diambil berat oleh pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional sebagai satu ancaman besar dan benar.Sebelum perkara yang lebih buruk berlaku, keseluruhan kepemimpinan Barisan Nasional perlu memikirkan antidote yang berkesan buat masa ini sementara menanti percaturan Anwar seterusnya.

Wednesday, June 18, 2008

Sabah mengorak langkah

Saya berada di Pejabat Menteri Pertanian apabila rakan memberitahu bahawa Presiden SAPP sedang memanggil sidang media di Sabah. Berbagai tekaan bermain di benak fikiran saya tentang apalah berita yang akan diberitahu. Jauh disudut hati amatlah saya berharap janganlah SAPP membuat keputusan untuk keluar dari Barisan Nasional. Baru semalam saya melahirkan kebimbangan tentang huru-hara situasi politik semasa yang banyak menekan Perdana Menteri Malaysia. Perkara ini akan memberi implikasi kepada kepercayaan pelabur serta bakal pelabur luar dan keberkesanan kepimpinan kabinet dalam hal mentadbir negara.

Langkah berani ini bersandarkan kepada layanan terhadap negeri Sabah yang dikatakan mundur, miskin dan sentiasa dipinggirkan dari segi pembangunan mahupun penjawatan di peringkat nasional. Kalau diukur dan dilihat dari sudut ahli SAPP, ianya satu tindakan yang wajar dan bolehlah Datuk Yong Teck Lee dianggap sebagai hero yang disanjung. Langkah yang dirasakan noble ini perlulah diperhalusi dan diambil berat kerana SAPP baru menyatakan pendirian tidak percaya kepada Perdana Menteri dan bukannya keluar parti. Ini merupakan amaran supaya parti-parti di Sabah tidak lagi dipandang sebagai parti sampingan sebaliknya sebagai parti yang menyumbang.

Isu seperti pendatang asing, kemiskinan, royalti minyak dan penjawatan merupakan perkara yang dibangkitkan. Walau bagaimana penting untuk RAKYAT sekalipun perjuangan yang ingin ditegakkan, masih ada pemimpin-pemimpin politik Sabah yang terus mengecam SAPP. Mengapa tidak bersama-sama mempersoalkan isu yang diperjuangkan? Sebaliknya pendirian SAPP itu dikecam tanpa mengemukakan alasan. Mereka sepatutnya menasihati SAPP agar menggunakan saluran yang ada bagi meminta apa yang dimahukan, bukan secara membabi-buta mengecam SAPP kerana menyatakan permintaan mereka.Tidak malukah mereka kepada RAKYAT? Tindakan mereka seolah-olah lebih memperjuangkan PM dan bukannya RAKYAT.Ahli Parlimen dan pemimpin parti jangan membawa imej sebegini kerana kalau berterusan bersikap seperti ini keyakinan RAKYAT kepada BN akan terus terhakis. Saya percaya jika saluran yang sedia-ada digunakan sebaiknya oleh SAPP, Perdana Menteri tidak akan teragak-agak menimbangkan permintaan mereka.

Ternyata langkah yang diambil oleh Datuk Yong Teck Lee merupakan langkah popular dikalangan ahli-ahli parti SAPP. Pihak pembangkang pula melihat perkara ini sebagai satu peluang untuk terus membuktikan kepada RAKYAT bahawa kerajaan yang ada sekarang tidak berupaya dan kurang acuh dalam usaha menangani masalah yang dihadapi oleh RAKYAT Malaysia dan Sabah khususnya. YAB Lim Guan Eng mempersendakan SAPP kerana masih lagi berada dalam komponen Barisan Nasional. Umpan Anwar Ibrahim hampir dimakan tetapi belum lagi dikait. Buat setakat ini, SAPP baru hanya mengadakan usul tidak percaya kepada pimpinan YAB Perdana Menteri. Maka haruslah PM berusaha dengan bersungguh bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh RAKYAT Sabah supaya keyakinan mereka kembali kepada Barisan Nasional.

Tuesday, June 17, 2008

Retak Menanti Belah, Rindu Menanti Hari

Ketidaktentuan yang wujud di dalam kepimpinan UMNO mengundang andaian yang berbagai-bagai; sekali air bah, sekali pantai berubah. Setiap kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin umpama badai melanda pantai- setiap kali pantai berubah. Acap kali kedengaran cakap-cakap politik yang kuat dan semakin kuat setiap hari sejak keputusan PRU ke-12.

Pertukaran dan peralihan kuasa thePremier sering menjadi topik pilihan perbualan di kedai kopi, perjalanan teksi mahupun sembang makan malam keluarga. Benarkah beliau sudah tidak layak, tidak ampuh dan sudah tidak relevan untuk menerajui negara tercinta ini? Walau signifikan sekalipun alasan dan hujah itu, sekiranya parti dekat di hati,parti menunjangi perjuangan maka pertelingkahan ini perlu dihentikan. Sekecil manapun skala ketidaksetujuan di kalangan barisan kepimpinan UMNO, ia perlu dihentikan segera. Ramai yang mahukan Perdana Menteri meletakkan jawatan dari parti dan kerajaan, bagaimanapun, proses demokrasi yang subur ini tidak perlu dicacat-celakan dengan desakan seperti ini. Perdana Menteri diangkat melalui demokrasi maka saya percaya hanya adil sekiranya diturunkan dengan proses yang sama. Oleh yang demikian, tempat dan tarikh dah ditentukan- PWTC pada 16 Disember 2008 gelanggang akan dibuka dan keris dihunus tanda mulanya pendekar bertarung. Tiada gunanya dibebankan PM dengan soalan-soalan berhubung peralihan kuasa. Hak dan batilnya akan ditentukan oleh perwakilan nanti. Bebaskan beliau melaksanakan kerja dan beban tanggungjawab mentadbir kerajaan dari sering gering memikirkan jawapan persoalan seperti ini.

Dan semalam 5 negeri menyusuri 100 hari dibawah naungan tadbir Pakatan Rakyat. Ada cakap-cakap bahawa PR kekurangan bakat untuk mentadbir maka sebab itu mula adanya strategi serampang dua mata membawa bekas-bekas pemimpin BN menyertai mereka dari segi pentadbiran mahupun kecenderungan politik. Dengan cara ini mereka bukan sahaja menyelesaikan masalah kekurangan bakat dan pengalaman yang ada, tetapi juga mewujudkan perpecahan di kalangan pemimpin BN dan menepis kesangsian RAKYAT terhadap keupayaan kepimpinan mereka. Permainan pemimpin de-facto PR Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berulang-kali menyatakan akan berlaku perubahan kerajaan dengan bantuan ahli-ahli Parlimen yang akan lompat parti jelas menunjukkan sikap memperlekehkan institusi demokrasi Malaysia. Mengapa ahli Parlimen Barisan Nasional dan UMNO khususnya perlu melompat parti sedangkan peluang untuk menukar kepimpinan terbuka luas pada 16 Disember ini andainya tidak bersetuju dengan PM. Atau mungkin ada alasan bertunjangkan kepentingan peribadi seperti habuan hartabenda dan wang ringgit semata-mata?

Ahli Parlimen semua harus sentiasa meletakkan kepentingan RAKYAT sebagai agenda utama dan bukannya kepentingan peribadi. Majoriti RAKYAT telah memilih kerajaan BN untuk meneraju-tadbir Malaysia dan ini harus disedari oleh Pakatan Rakyat. Anwar jangan rindu menanti hari.Biar PRU ke-13 penentunya. Malaysia perlu dibenarkan berdiri di atas tapak demokrasi yang dibina pada PRU ke-12 yang lepas. Pertelingkahan di dalam UMNO perlu dihenti.Jangan sampai retak menanti belah!

Keraian yang pedih

Isu kenaikan harga minyak telah memberi kesan 'domino effect' kepada RAKYAT MALAYSIA secara berterusan dan seumpama tiada berpenghujung. Pengumuman kerajaan untuk menaikkan harga petrol kepada kadar kenaikan tertinggi yang pernah dicatat dalam kronologi petrol negara telah memberi kesan kepada hampir keseluruhan aktiviti di dalam negara. Sebagai permulaan harga barang-barang runcit dan makanan telah naik secara mendadak dan kesan ini amat dirasai oleh setiap warganya. Bagi mereka yang tidak bersama-sama dengan arus kenaikan harga ini mudah mendapat populariti dan pujian harus dihamburkan kepada mereka; sebagai contoh peniaga makanan RM2 di Kuala Kedah. Tetapi perkara ini bukan mudah untuk disertai oleh peniaga-peniaga lain kerana hal ini dikacamata sesetengah peniaga dilihat sebagai peluang untuk menaikkan harga sehingga ke paras yang tidak wajar bagi mengaut keuntungan.

Setelah itu, kenaikan tambang bas oleh pengusaha-pengusaha bas terus menekan kehidupan RAKYAT. Bagi mereka yang bergantung kepada bas sebagai mode pengangkutan utama, pasti merana dengan kenaikan hampir 50% yang dikenakan oleh syarikat-syarikat bas awam dan bas sekolah. Dan tidak cukup dengan itu, rantaian kesan ini terus merentasi caj-caj perkhidmatan yang juga naik harga contohnya; saya mendapat panggilan daripada tukang cuci rumah saya yang datang hanya seminggu sekali meminta agar dinaikkan RM40 kadar upahnya dari harga upah asal dengan menggunakan alasan yang serupa.


Keterjejasan hidup RAKYAT MALAYSIA diteruskan lagi dengan berita kemungkinan harga caj elektrik ke rumah-rumah yang mungkin naik dan sedang dalam kajian TNB berikutan harga bahan bakar (petrol & arang) yang mengalami kenaikan.


Implikasi kenaikan harga petrol bukan sahaja menjejaskan harga barang dan perkhidmatan, ianya juga memaksa kerajaan membuat keputusan yang dirasakan sebagai usaha untuk menyejukkan hati RAKYAT yang marah.Rebat tunai telah diberikan bagi kenderaan-kenderaan dibawah 2000cc dan sebagainya dan tuntutan bolehlah dibuat melalui Pejabat-Pejabat Pos di seluruh negara. Hasilnya, Pejabat-Pejabat Pos ini telah dipenuhi oleh pelbagai kaum seawal 7pagi sehingga dirasakan seumpama ada majlis keraian. Apa yang diraikan? Kerajaan harus sedar, mereka ini keluar dan sanggup beratur di Pejabat Pos kerana mereka ini benar-benar terhimpit dan amat memerlukannya. Sejumlah RM120 juta telah dibayar pada hari pertama dan kalau dilihat di dada-dada akhbar ianya telah mengundang berbagai-bagai pendapat dan reaksi daripada RAKYAT sekalian.


Sudah tiba masanya RAKYAT sedar bahawa isu kenaikan harga merupakan masalah dunia dan kita tidak berseorangan menghadapinya. Dan sudah tiba masanya juga kerajaan memikirkan penyelesaian yang komprehensif bagi mengukuhkan sistem pengangkutan awam yang selesa dan reliable. Hal mengubah gaya hidup bukan satu option tetapi itulah satu-satunya jalan keluar dan perkara ini harus disedari oleh pemimpin dan bos-bos kita di pejabat. Mereka harus memulakannya dan berpegang pada prinsip- kepimpinan melalui teladan. Langkah pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui YB Menterinya yang mengarahkan agar lampu-lampu dan sistem penghawa dingin dimatikan ketika waktu rehat merupakan satu tindakan bijak dan harus diteladani. Mungkin selepas ini kadar tanggungan utiliti yang dinikmati oleh para pemimpin dan pegawai kerajaan juga harus dihadkan (bukan ditarikbalik) agar mereka juga merasa akan keperitan yang dialami oleh RAKYAT jelata. Hal ini bukan bertujuan menghukum, tetapi bagi menginsafi kepedihan yang terpaksa dilalui seumpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk menampung perbelanjaan lain yang lebih memerlukan seumpamanya ; hal anak ke sekolah dan sara diri yang lain. Hidup harus teruskan sekalipun harga minyak mencecah USD200 setong, tetapi kerajaan harus melihat konteks penyelesaian ini dengan lebih bijak-arif kalau tidak mahu melihat majlis keraian sinis di semua Pejabat Pos seluruh negara berulang lagi.


Kalau negara pengeluar minyak seperti Venezuela,rakyatnya hanya membayar RM0.16 seliter maka kerajaan harus memperjelaskan mengapa RAKYAT Malaysia membayar sehingga berkali-kali ganda sedangkan kita juga mempunyai PETRONAS yang sentiasa menunjangi subsidi negara. Logiknya jika petrol naik harga, PETRONAS juga akan memperolehi keuntungan berlipat-kali ganda dan seharusnya berupaya secara berterusan membantu kerajaan dari segi subsidi. Perlu difikirkan kaedah penerangan kepada RAKYAT agar tanggapan negatif terhadap kerajaan dapat dibidas dan menunjukkan bahawa perjanjian jualbeli minyak dikawal-urus dengan baik oleh pengurusan PETRONAS. Persoalan ini harus dijawab segera memandangkan hidup terhimpit, hati merana RAKYAT tidak mengenal parti politik, pemimpin dan bangsa-'domino effect'nya amat bahaya dan tidak mengenal sempadan.