Tuesday, May 12, 2009

Stigma perjuangan kaum India

Mari kita bincang mengenai kaum minoriti(dari segi demografi) di Malaysia tetapi telah memberi impak yang besar kebelakangan ini terhadap persekitaran politik tanahair. Pemimpin HIDRAF P.Uthayakumar, setelah dibebaskan dari Kem Kamunting memberitahu pemberita bahawa beliau tidak akan meminta maaf dan berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia. Pendirian ini dibuat kerana beliau percaya bahawa beliau tidak bersalah dan mengikut lunas undang-undang Malaysia semasa memperjuangkan hak & kedudukan kaum India di negara ini.
Kerajaan dirasakan membuat beberapa perkara yang tidak betul jika dilihat dari segi tindakan yang diambil dan ini telah mengecewakan golongan minoriti ini. Secara kebetulan, saya sendiri berada di bandaraya Kuala Lumpur semasa awal pagi perhimpunan HINDRAF. Sepanjang-panjang perjalanan saya memandu kereta keluar dari bandaraya KL mata saya tidak lekang dari melihat masyarakat India yang telah keluar beramai-ramai menaiki kereta, motosikal atau mahupun berjalan kaki menuju ke tengah kota bandaraya KL dan cuba berkumpul di Jalan Ampang pada ketika itu. Mereka memutuskan untuk bersama-sama kumpulan haram HINDRAF berhimpun bagi menyatakan kesusahan, keperitan hidup di Malaysia. Mereka datang secara sukarela bersama duka-lara berjuang untuk diri sendiri. Bayangkan tidak ada apa yang dapat menghalang mereka pada waktu itu dari berkumpul bagi menyatakan keperitan hidup mereka. Matlamat perhimpunan HINDRAF adalah untuk menyampaikan memorandum kepada Kerajaan British melalui pejabat Kedutaan mereka di Jalan Ampang. Mereka menyalahkan kolonisasi British ke atas Tanah Melayu yang telah membawa masyarakat India dan akhirnya menjadikan Malaysia negara mereka sehingga kini.
Persoalannya, adakah benar negara Malaysia tidak memberi peluang HANYA kepada kaum India untuk tidak berjaya? Bukti memperlihatkan banyak orang cina yang juga mempunyai sejarah pendudukan di Malaysia seperti kaum India memperoleh kejayaan dalam pelbagai bidang di Malaysia.
Malaysia tidak menghalang sesiapa dari memperoleh kejayaan. Kejayaan setiap orang dikongsi oleh Malaysia. Hanya usaha yang memisahkan mereka dari kejayaan.Tetapi, ianya bukan sebab mutlak kebanyakkan masyarakat India di sini gagal untuk mempertingkatkan kedudukan hidup mereka. Saya gagal intuk mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataan itu.Kemarahan mereka terhadap nasib kaum India di negara ini bukan dibuat-buat. Kalau dilihat dengan usaha mereka berjalan sepanjang-panjang Jalan Sentul, memenuhi Jalan Ipoh menuju ke Jalan Ampang dan jika diamati terpancar kesedihan diriak wajah mereka; terselindung disebalik kemarahan memikirkan keterpinggiran dalam kasta masyarakat Malaysia.
Pergaulan saya yang tidak mengenal batasan perkauman melakar gambaran yang cukup berbeza. Semasa menuntut di Universiti of Wales saya bercampur gaul dengan cukup rapat bersama rakan-rakan India Malaysia. Vicky, Naren, Ramesh hanyalah beberapa nama yang memberi saya peluang untuk mengenal masyarakat India. Hidup di perantauan memupuk semangat kenegaraan yang kuat sesama kita. Bayangkan dari 1998 sehingga kini saya mendengar cukup keluhan dari rakan-rakan kaum India tentang kekecewaan mereka terhadap parti MIC, parti India tunggal yang mendokong dinamisme Barisan Nasional. HINDRAF tidak muncul dari impian seorang India, tetapi wujud dari rintihan ribuan masyarakat India. Kerajaan perlu mengambil berat terhadap gerakan ini. walaupun ianya sebuah pertubuhan haram, jika aspirasi RAKYAT menjadi keutamaan, maka HINDRAF hendaklah didekati. Kalau kita boleh lihat Pakatan Pembangkang menjadikan mereka calon dalam pilihanraya, maka rumusannya Pakatan Pembangkang berjaya memberi suara rasmi bagi mereka memperjuangkan agenda mereka. Mengapa BN tidak boleh memberi peluang yang serupa terhadap mereka? Jawapannya kerana stigma perjuangan masyarakat India di Malaysia masih berlegar sekitar landskap parti MIC yang akhirnya mengheret BN menjadi organisasi yang gagal memperjuangkan kemajuan masyarakat India. BN jangan terikat dengan perjuangan dulu. Kini kita mesti ubah. Maka akan diterima selamanya.

No comments: