Tuesday, June 17, 2008

Retak Menanti Belah, Rindu Menanti Hari

Ketidaktentuan yang wujud di dalam kepimpinan UMNO mengundang andaian yang berbagai-bagai; sekali air bah, sekali pantai berubah. Setiap kenyataan yang keluar dari mulut pemimpin umpama badai melanda pantai- setiap kali pantai berubah. Acap kali kedengaran cakap-cakap politik yang kuat dan semakin kuat setiap hari sejak keputusan PRU ke-12.

Pertukaran dan peralihan kuasa thePremier sering menjadi topik pilihan perbualan di kedai kopi, perjalanan teksi mahupun sembang makan malam keluarga. Benarkah beliau sudah tidak layak, tidak ampuh dan sudah tidak relevan untuk menerajui negara tercinta ini? Walau signifikan sekalipun alasan dan hujah itu, sekiranya parti dekat di hati,parti menunjangi perjuangan maka pertelingkahan ini perlu dihentikan. Sekecil manapun skala ketidaksetujuan di kalangan barisan kepimpinan UMNO, ia perlu dihentikan segera. Ramai yang mahukan Perdana Menteri meletakkan jawatan dari parti dan kerajaan, bagaimanapun, proses demokrasi yang subur ini tidak perlu dicacat-celakan dengan desakan seperti ini. Perdana Menteri diangkat melalui demokrasi maka saya percaya hanya adil sekiranya diturunkan dengan proses yang sama. Oleh yang demikian, tempat dan tarikh dah ditentukan- PWTC pada 16 Disember 2008 gelanggang akan dibuka dan keris dihunus tanda mulanya pendekar bertarung. Tiada gunanya dibebankan PM dengan soalan-soalan berhubung peralihan kuasa. Hak dan batilnya akan ditentukan oleh perwakilan nanti. Bebaskan beliau melaksanakan kerja dan beban tanggungjawab mentadbir kerajaan dari sering gering memikirkan jawapan persoalan seperti ini.

Dan semalam 5 negeri menyusuri 100 hari dibawah naungan tadbir Pakatan Rakyat. Ada cakap-cakap bahawa PR kekurangan bakat untuk mentadbir maka sebab itu mula adanya strategi serampang dua mata membawa bekas-bekas pemimpin BN menyertai mereka dari segi pentadbiran mahupun kecenderungan politik. Dengan cara ini mereka bukan sahaja menyelesaikan masalah kekurangan bakat dan pengalaman yang ada, tetapi juga mewujudkan perpecahan di kalangan pemimpin BN dan menepis kesangsian RAKYAT terhadap keupayaan kepimpinan mereka. Permainan pemimpin de-facto PR Dato' Seri Anwar Ibrahim yang berulang-kali menyatakan akan berlaku perubahan kerajaan dengan bantuan ahli-ahli Parlimen yang akan lompat parti jelas menunjukkan sikap memperlekehkan institusi demokrasi Malaysia. Mengapa ahli Parlimen Barisan Nasional dan UMNO khususnya perlu melompat parti sedangkan peluang untuk menukar kepimpinan terbuka luas pada 16 Disember ini andainya tidak bersetuju dengan PM. Atau mungkin ada alasan bertunjangkan kepentingan peribadi seperti habuan hartabenda dan wang ringgit semata-mata?

Ahli Parlimen semua harus sentiasa meletakkan kepentingan RAKYAT sebagai agenda utama dan bukannya kepentingan peribadi. Majoriti RAKYAT telah memilih kerajaan BN untuk meneraju-tadbir Malaysia dan ini harus disedari oleh Pakatan Rakyat. Anwar jangan rindu menanti hari.Biar PRU ke-13 penentunya. Malaysia perlu dibenarkan berdiri di atas tapak demokrasi yang dibina pada PRU ke-12 yang lepas. Pertelingkahan di dalam UMNO perlu dihenti.Jangan sampai retak menanti belah!

No comments: