Thursday, June 19, 2008

Percaturan gambit de-facto PR



Dengan mewar-warkan perubahan kerajaan yang akan berlaku seawal September melalui kemasukan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat, itulah bermulanya detik gerakan percaturan politik pemimpin de-facto PR. Caranya dengan menanam kesangsian dikalangan barisan ahli-ahli Parlimen BN dengan menggoyahkan keyakinan dan kesetiaan sesama mereka termasuk PM sendiri.

Memang ada pertemuan dengan DSAI dan ini diakui sendiri oleh Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee dengan mendedahkan 2 tempat pertemuan mereka di Hong Kong dan di Kuala Lumpur. Kenyataan balas PM mendedahkan bahawa kegagalan beliau untuk memenuhi ketamakkan Presiden SAPP itu telah menyebabkan tindakan yang sedemikian rupa. Bagaimanapun persoalan sama ada pertemuan Datuk Yong Teck Lee dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim yang telah mendorong tindakan SAPP itu sudah menjadi tidak relevan apabila alasan yang dikemukakan mereka adalah bersandarkan kepada kepentingan RAKYAT Sabah.Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Presiden SAPP selepas mesyuarat Majlis Tertinggi SAPP itu sendiri menggambarkan kedemokrasian yang subur di dalam komponen parti tersebut. Sebarang tindakan menyokong kumpulan breakaway seperti Timbalan Presiden SAPP Datuk Raymond Tan dan ADUN Elopura Au Kam Wah yang juga merangkap Ketua Pemuda SAPP boleh dianggap sebagai campurtangan terhadap rumahtangga SAPP dan mengenepikan semangat demokrasi. Hal ini menjadikan sebarang tindakan dan kenyataan mereka berdua selepas ini bolehlah dianggap sebagai kenyataan peribadi.

Pada hemat saya, lebih wajar sekiranya Perdana Menteri menggunakan pendekatan penyelesaian dengan menumpukan kepada tuntutan-tuntutan yang melibatkan kebajikan RAKYAT Sabah. Sebarang pendekatan politik yang bersifat menghukum akan merumitkan lagi keharmonian dan keselesaan pemerintahan Barisan Nasional. Ianya juga akan memberikan SAPP alasan yang lebih kukuh untuk meninggalkan Barisan Nasional. Sekiranya ini terjadi, maka akan menjadikan 2 ahli Parlimen SAPP sama ada sebagai ahli Bebas ataupun lebih buruk lagi menyertai Pakatan Rakyat.

Ada sumber menyatakan bahawa melalui perbualan beliau dengan orang kuat Parti Keadilan Rakyat dari Pulau Pinang tampak bahawa PR amat yakin akan membentuk kerajaan pada September ini dan sudahpun berjanji untuk menyelesaikan semua permasalahan berkaitan RAKYAT. Keyakinan ini harus diambil berat oleh pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional sebagai satu ancaman besar dan benar.Sebelum perkara yang lebih buruk berlaku, keseluruhan kepemimpinan Barisan Nasional perlu memikirkan antidote yang berkesan buat masa ini sementara menanti percaturan Anwar seterusnya.

No comments: