Tuesday, June 17, 2008

Keraian yang pedih

Isu kenaikan harga minyak telah memberi kesan 'domino effect' kepada RAKYAT MALAYSIA secara berterusan dan seumpama tiada berpenghujung. Pengumuman kerajaan untuk menaikkan harga petrol kepada kadar kenaikan tertinggi yang pernah dicatat dalam kronologi petrol negara telah memberi kesan kepada hampir keseluruhan aktiviti di dalam negara. Sebagai permulaan harga barang-barang runcit dan makanan telah naik secara mendadak dan kesan ini amat dirasai oleh setiap warganya. Bagi mereka yang tidak bersama-sama dengan arus kenaikan harga ini mudah mendapat populariti dan pujian harus dihamburkan kepada mereka; sebagai contoh peniaga makanan RM2 di Kuala Kedah. Tetapi perkara ini bukan mudah untuk disertai oleh peniaga-peniaga lain kerana hal ini dikacamata sesetengah peniaga dilihat sebagai peluang untuk menaikkan harga sehingga ke paras yang tidak wajar bagi mengaut keuntungan.

Setelah itu, kenaikan tambang bas oleh pengusaha-pengusaha bas terus menekan kehidupan RAKYAT. Bagi mereka yang bergantung kepada bas sebagai mode pengangkutan utama, pasti merana dengan kenaikan hampir 50% yang dikenakan oleh syarikat-syarikat bas awam dan bas sekolah. Dan tidak cukup dengan itu, rantaian kesan ini terus merentasi caj-caj perkhidmatan yang juga naik harga contohnya; saya mendapat panggilan daripada tukang cuci rumah saya yang datang hanya seminggu sekali meminta agar dinaikkan RM40 kadar upahnya dari harga upah asal dengan menggunakan alasan yang serupa.


Keterjejasan hidup RAKYAT MALAYSIA diteruskan lagi dengan berita kemungkinan harga caj elektrik ke rumah-rumah yang mungkin naik dan sedang dalam kajian TNB berikutan harga bahan bakar (petrol & arang) yang mengalami kenaikan.


Implikasi kenaikan harga petrol bukan sahaja menjejaskan harga barang dan perkhidmatan, ianya juga memaksa kerajaan membuat keputusan yang dirasakan sebagai usaha untuk menyejukkan hati RAKYAT yang marah.Rebat tunai telah diberikan bagi kenderaan-kenderaan dibawah 2000cc dan sebagainya dan tuntutan bolehlah dibuat melalui Pejabat-Pejabat Pos di seluruh negara. Hasilnya, Pejabat-Pejabat Pos ini telah dipenuhi oleh pelbagai kaum seawal 7pagi sehingga dirasakan seumpama ada majlis keraian. Apa yang diraikan? Kerajaan harus sedar, mereka ini keluar dan sanggup beratur di Pejabat Pos kerana mereka ini benar-benar terhimpit dan amat memerlukannya. Sejumlah RM120 juta telah dibayar pada hari pertama dan kalau dilihat di dada-dada akhbar ianya telah mengundang berbagai-bagai pendapat dan reaksi daripada RAKYAT sekalian.


Sudah tiba masanya RAKYAT sedar bahawa isu kenaikan harga merupakan masalah dunia dan kita tidak berseorangan menghadapinya. Dan sudah tiba masanya juga kerajaan memikirkan penyelesaian yang komprehensif bagi mengukuhkan sistem pengangkutan awam yang selesa dan reliable. Hal mengubah gaya hidup bukan satu option tetapi itulah satu-satunya jalan keluar dan perkara ini harus disedari oleh pemimpin dan bos-bos kita di pejabat. Mereka harus memulakannya dan berpegang pada prinsip- kepimpinan melalui teladan. Langkah pengumuman yang dibuat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui YB Menterinya yang mengarahkan agar lampu-lampu dan sistem penghawa dingin dimatikan ketika waktu rehat merupakan satu tindakan bijak dan harus diteladani. Mungkin selepas ini kadar tanggungan utiliti yang dinikmati oleh para pemimpin dan pegawai kerajaan juga harus dihadkan (bukan ditarikbalik) agar mereka juga merasa akan keperitan yang dialami oleh RAKYAT jelata. Hal ini bukan bertujuan menghukum, tetapi bagi menginsafi kepedihan yang terpaksa dilalui seumpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk menampung perbelanjaan lain yang lebih memerlukan seumpamanya ; hal anak ke sekolah dan sara diri yang lain. Hidup harus teruskan sekalipun harga minyak mencecah USD200 setong, tetapi kerajaan harus melihat konteks penyelesaian ini dengan lebih bijak-arif kalau tidak mahu melihat majlis keraian sinis di semua Pejabat Pos seluruh negara berulang lagi.


Kalau negara pengeluar minyak seperti Venezuela,rakyatnya hanya membayar RM0.16 seliter maka kerajaan harus memperjelaskan mengapa RAKYAT Malaysia membayar sehingga berkali-kali ganda sedangkan kita juga mempunyai PETRONAS yang sentiasa menunjangi subsidi negara. Logiknya jika petrol naik harga, PETRONAS juga akan memperolehi keuntungan berlipat-kali ganda dan seharusnya berupaya secara berterusan membantu kerajaan dari segi subsidi. Perlu difikirkan kaedah penerangan kepada RAKYAT agar tanggapan negatif terhadap kerajaan dapat dibidas dan menunjukkan bahawa perjanjian jualbeli minyak dikawal-urus dengan baik oleh pengurusan PETRONAS. Persoalan ini harus dijawab segera memandangkan hidup terhimpit, hati merana RAKYAT tidak mengenal parti politik, pemimpin dan bangsa-'domino effect'nya amat bahaya dan tidak mengenal sempadan.

No comments: